AMANAT TAHUN BAHARU PENGARAH KPTM-KESEDAR, GUA MUSANG

Written by webmaster on . Posted in Announcement

2019 Happy New Year PNG Clip Art Image

 

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,

 

Saya bersyukur kehadrat Allah s.w.t. kerana masih diberikan kesempatan untuk menghirup udara segar dan melihat kehijauan alam serta pemandangan yang indah di bumi penghujung negeri, Gua Musang.

Tahun 2018 telah meninggalkan kita. Ia berlalu menjadi sejarah. Ada kenangan manis yang kita suka lalu kita simpan kejap di dalam hati dan sanubari kita. Ada kenangan pahit yang tidak ingin kita ingati, maka lantas kita buang jauh-jauh supaya ia tidak lagi datang menggamit memori kita. Yang manis, yang pahit, semuanya telah meninggalkan kita. Itu lumrah dalam kehidupan.

Hadapilah tahun baharu ini dengan penuh semangat dan tanamkan azam baharu yang lebih jelas dan berfokus. Menjelang tahun baharu 2019, genap 4 bulan saya memimpin KPTM-KESEDAR. Terima kasih kepada seluruh tenaga kerja yang membantu dan memberi inspirasi kepada saya.

Anda semua sangat hebat! Kehebatan itu menjadikan KITA sebuah organisasi yang hebat, biarpun jumlah kita sedikit pada bilangannya. Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat! Usah risau andai ada yang melihat kita dengan pandangan yang berbeza, kerana ia bukan di bawah kawalan kita. Tahun ini, ada cabaran baharu bakal singgah menjengah kita. Cabaran yang cukup besar. Namun, walau apa pun bentuk cabaran yang akan tiba, kita harus bijaksana menyahutnya agar ia tetap bermanfaat buat kita. Seandainya datang awan hitam, jika kita bijak memintalnya, pasti ia akan jadi pelangi yang indah menawan.

Sebagai sebuah institusi pendidikan, kewujudan kita di hujung negeri ini terbukti telah berjaya menggamit minat dan mencetus kesedaran baharu kepada masyarakat peri pentingnya ilmu khususnya buat generasi muda. Dengan ilmu mereka mampu mengubah kelemahan menjadi kekuatan, mengubah halangan menjadi peluang. Ini bakti kita kepada masyarakat. Namun, hidup ini bukan setakat untuk berbakti kepada masyarakat. Lebih penting daripada itu adalah bakti kita kepada-NYA. Ia sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang kita kecapi atas pemberian-NYA. Bahkan masa depan kita telah ada dalam kanvas perancangan-NYA. Yakinlah bahawa Allah merupakan sebaik-baik perencana buat kita. Sama-sama kita bersabar dan redha dengan ketentuannya. Berkat kesabaran dan keredhaan, pasti kejayaan dan kebahagiaan akan jadi milik kita.

SELAMAT TAHUN BAHARU 2019, 1440 HIJRAH.